Monday, March 23, 2009

Tangani Sifat Cemburu Buta
www.iLuvislam.com
setanggi_syurga83
Editor : almusafirq8

Adakah anda pernah mengalami sekurang-kurangnya satu daripada senario di bawah ini?
1. Anda sekadar ada kereta Volkswagen model 60-an yang selalu meragam di waktu pagi dan jiran sebelah rumah anda pula ada kereta Honda Civic yang bunyi enjinnya menderum sedap? Anda jadi sangat cemburu sehingga mengharapkan kereta Honda Civic jiran anda itu ditarik oleh bank?

2. Gaji anda cukup-cukup makan sahaja. Gaji rakan-rakan anda pula agak besar sehingga mereka mampu untuk makan angin di luar negara. Anda pula nak pergi makan angin di Pulau Carey pun rasa mahu terburai poket seluar. Cemburu punya pasal, anda berdoa agar kapal terbang yang dinaiki kawan anda itu terhempas, atau sekurang-kurangnya dirampas oleh pengganas.

3. Kawan-kawan anda sudah ramai yang kahwin, dan anda juga mahu berkahwin, malangnya atas sebab-sebab yang tertentu anda masih lagi belum boleh berkahwin. Anda jadi tersangat cemburu pada rakan-rakan anda yang sudah berkahwin sehingga kadang-kadang anda harap esok pagi juga mereka bercerai. Anda tambah sendiri senario…

Cemburu pertama dalam sejarah manusia cemburu paling hebat yang pernah terjadi dalam sepanjang alam ini wujud adalah cemburu Iblis kepada Nabi Adam. Apabila Allah menyuruh Iblis sujud pada Nabi Adam, Iblis enggan. Iblis merasakan dirinya lebih bagus dari Nabi Adam. Iblis cemburu kerana Allah memberikan penghormatan yang begitu tinggi kepada Nabi Adam. Akibatnya, Iblis dicampak keluar dari syurga dan kini tempat tinggal abadinya adalah di dalam neraka. Cemburu manusia yang pertama pula berlaku dalam kisah Habil dan Qabil yang merupakan dua orang putera Nabi Adam. Qabil tidak puas hati dengan Habil kerana Habil akan dinikahkan dengan Iqlima (saudara kembar Qabil) yang jauh lebih rupawan dari Labuda (saudara kembar Habil). Ini kemudiannya membawa kepada adegan-adegan dramatik yang mencemaskan. Klimaks kepada kisah ini adalah apabila Qabil membunuh Habil. Ini kes cemburu pertama dalam sejarah manusia, dan cemburu pertama ini juga telah membawa kepada tragedi pertumpahan darah yang pertama di atas muka bumi ini.


Petua-petua mengatasi sifat cemburu:

1) Daripada dua kisah cemburu yang membabitkan Iblis dan Qabil itu, kita dapati bahawa sifat cemburu tidak membawa sebarang kebaikan langsung kepada kita. Cemburu hanya memusnahkan diri sendiri. Tiada pengakhiran yang baik dan menggembirakan dalam hati manusia yang sering cemburu. Oleh itu sebelum anda mahu cemburu, cuba renung kembali kisah Iblis dan Qabil ini.

2) Kita selaku manusia biasa, memang agak sukar untuk membuang 100% sifat cemburu dari terus mendiami hati. Oleh itu, lempiaskan sifat cemburu ini pada dua jenis keadaan sahaja berdasarkan kepada hadith Rasulullah sallahu alayhi wasalam dari kitab Sahih Muslim ini:
"Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang; iaitu pada orang yang Allah berikan harta, dia menghabiskannya dalam kebaikan. Dan pada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia".

3) Imam al-Ghazali ada menerangkan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa manusia jenis yang kuat hasad dan cemburu ini, apabila diceritakan kepadanya kesenangan yang diterima oleh orang lain, hatinya akan jadi benci dan resah. Apabila dia mendapat tahu musuhnya ditimpa musibah dan nasib malang, hatinya akan menyanyi keriangan. Cemburu pada orang lain bermaksud kita tidak gembira pada nikmat yang Allah berikan kepada para hamba-Nya. Ini juga bermakna bahawa kita tidak redha pada takdir dan ketetapan Allah. Jika kita sendiri tidak redha pada Allah, apakah mungkin bagi kita untuk mendapatkan keredhaan Allah? Dan jika Allah tidak redha pada kita, apakah mungkin ketenangan hati itu akan kita kecapi? Imam Maulud, seorang ulama Sufi yang hebat, ada menerangkan bahawa untuk membersihkan hati (sekaligus mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa), kita elakkan dari berasa cemburu pada kejayaan orang lain. Sebaliknya, jika manusia lain mendapat kebaikan dan rezeki yang lebih dari kita, kita doakan kebaikan dan kegembiraan untuk mereka. Hatta jika musuh kita yang mendapat kebaikan, jangan juga cemburu. Cemburu kepada musuh hanya akan menambahkan lagi penguasaan psikologi mereka ke atas diri kita.

4) Cemburu hadir sebab kita rasa kita lebih bagus dan lebih mulia dari orang lain; holier than thou. Apabila kita ada persepsi sebegini, kita akan mudah merasakan bahawa dia dan mereka tidak layak untuk menerima nikmat tersebut. Kita sahajalah yang layak. Buang sifat sebegini dan tanamkan dalam hati dan minda bahawa yang orang lebih mulia di sisi Allah hanya diukur dari segi takwa. Dengan ini, disamping dapat membuang sifat cemburu, kita juga sekaligus dapat berlumba-lumba dengan manusia lain dalam meningkatkan taqwa kepada Allah.

5) Dalam tiga senario di atas, saya ada sentuh tentang bab kahwin. Saya jadikan isu kahwin ini agak spesifik memandangkan saya kenal dan tahu beberapa orang kawan saya, dan kebanyakkan adalah perempuan yang mengeluh kerana masih lagi belum bertemu jodoh. Mereka agak depress. Berkahwin itu memanglah topik yang seronok. Siapa tidak suka kahwin. Tetapi menjadikan perkahwinan sebagai alasan untuk memberikan kebahagian hidup agak kurang tepat. Pasangan berkahwin yang kelihatan gembira mungkin kerana sejak zaman bujang lagi mereka sudah memiliki gaya hidup yang ceria. Tapi apa akan jadi jika Lelaki A yang pesimis berkahwin dengan Wanita B yang bersifat sangat cemburu buta. Anda fikir dengan perkahwinan itu, Lelaki A dan Wanita B itu akan mendapat kegembiraan dan kebahagiaan hidup? Perkahwinan hanya satu keindahan yang sementara jika ia tidak disulami dengan tanggungjawab, perkahwinan adalah satu bala. Terangkan kepada saya mengapa Britney Spears bercerai dengan suami pertamanya, iaitu Jason Allen Alexander setelah mereka sah menjadi suami isteri selama 55 jam sahaja? Saya juga ada seorang rakan (Melayu) yang menceritakan kisah sedih rakannya (Melayu) yang diceraikan suaminya setelah setahun berumahtangga. Mengapa ini berlaku? Tiada kebahagiaan!
Maka, perkahwinan bukan tiket mutlak kebahagiaan hidup. Ketahuilah bahawa sebahagian dari kegembiraan itu terletak pada redha Allah ke atas manusia dan sebahagian lagi terletak pada cara seseorang itu berfikir. Kepada yang masih belum berkahwin, bawa-bawa bersabar. Bak kata senior saya, let’s chill and relax…
Akan tetapi, perkahwinan juga sangat penting dalam kehidupan manusia. Saya ingin membantu, tetapi saya tidak boleh bagi kaunseling lebih-lebih kerana masih lagi belum berkahwin. Mungkin boleh baca artikel ini: What should I do to get married?
Jangan cemburu kepada rakan-rakan yang terlebih dahulu menamatkan zaman bujang dan anak dara. Bila sampai masa yang ditetapkan Allah, anda pasti akan mendapatnya. Ini konsep tawakal dalam Islam. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Cuba aplikasikan konsep Taburan Normal dalam ilmu statistik untuk lebih memahami masalah ini.

6) Apa yang mereka ada tidak semestinya diberkati Allah. Kadang-kadang rezeki yang Allah beri pada hamba-Nya adalah bersifat istidraj semata-mata. Rasullulah bersabda:
"Apabila kamu melihat Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah".
(Hadith riwayat Imam at-Tabarani, Ahmad dan Al-Baihaqi).
Istidraj adalah nikmat yang Allah berikan kepada orang-orang kafir dan fasik, tetapi dalam masa yang sama Allah hilangkan erti kesyukuran di dalam hati mereka, dan Allah membinasakan mereka secara beransur-ansur tanpa mereka sedari. Jiran anda di sebelah rumah yang selalu pergi clubbing dan tuang arak dalam perut, tetapi kereta mewah ada 2-3 buah, menjawat pula jawatan CEO di sebuah syarikat besar, maka ketahuilah bahawa rezeki yang mereka terima itu berkemungkinan besar adalah istidraj. Oleh itu, jika anda patuh dan taat pada segala perintah Allah, melakukan solat tahajjud setiap malam, tetapi rezeki masih lagi dalam keadaan terumbang-ambing, maka janganlah terlalu risau. Rezeki sikit atau banyak adalah ujian dari Allah. Jangan sangka dengan duit berkepok-kepok di bawah bantal akan membuatkan kita gembira. Kita gembira kerana Allah yang berikan kita kegembiraan. Jika anda ada buku Ayah Kaya, Ayah Miskin, cuba selak semula bahagian awal buku itu, yang mana Robert Kiyosaki ada menceritakan kisah beberapa orang ternama yang kaya-raya waktu itu, akhirnya menerima kesudahan hidup yang menyedihkan setelah berlakunya peristiwa Great Depression. Lihat, semudah itu sahaja Allah mahu tarik kekayaan seseorang.

7) Akhir sekali, cemburu datang kerana kurang sifat syukur dalam diri. Kita selalu memikirkan dan berasa rungsing dengan apa yang masih tidak kita miliki. Kita cemburu pada orang lain yang ada apa yang kita mahu. Tetapi selalu sangat kita tidak bersyukur dengan apa yang sedang kita ada. Jika anda menyimpan makanan dalam peti sejuk, dan menyimpan baju di dalam almari, dan ada katil sebagai tempat tidur, dan memiliki sebuah rumah. Maka anda sudah jadi lebih kaya dari 75% penduduk bumi yang lain! Maka, bersyukur dengan apa yang sedang kita miliki adalah kunci utama bagi membuang sifat cemburu dan sekaligus mendatangkan kebahagiaan di dalam hati. Jangan apabila ia sudah pergi baru kita mahu bersyukur dan menangis kerana manusia selalunya begitu. Hargailah sekecil-kecil nikmat Allah.Semoga hidup kita sentiasa dilimpahi keberkatan.Insya Allah.

Cara Mengurus Kemarahan
www.iluvislam.com
Kiriman: aziee
Editor : b_b



Bagaimanakah perasaan anda hari ini? Adakah anda rasa marah? Gembira? Murung? Kecewa? Takut? Bersalah? Tersinggung? Hormat? Bertanggungjawab? Bolehkah anda mengenalpasti dengan tepat apa yang anda rasa? Bolehkah anda cari perkataan-perkataan lain untuk mencerminkan apa yang anda rasa? Kini manusai telah cipta lebih daripada 2000 perkataan untuk menerangkan jenis-jenis perasaan yang dialaminya. Kefahaman tentang tiap-tiap perkataan mengenai perasaan iaitu emosi manusia penting untuk mengenali perasaan sendiri dan perasaan orang lain.


CARA MENGURUS KEMARAHAN

1. Memahami apa yang mencetusnya serta manfaat jangka pendeknya.

Kita perlu memahami dan mengenalpasti pencetus-pencetus yang boleh jadikan kita hilang akal seperti kata-kata tertentu orang, tabiat orang, tidak bertoleransi dan sebagainya. Manfaat atau kebaikan yang boleh didapati daripada pelepasan kemarahan kita ialah mungkin seperti berikut: a) Saya rasa lega
b) Orang mendengar saya
c) Rasa seperti diri sebenar lepas marah
d) Jika tidak marah saya akan menangis sahaja
e) Melaui kemarahan orang tahu pendirian mereka
f) Kemarahan menghilangkan perasaan takut
g) Jika saya tak marah orang akan fikir saya lemah

Manfaat-manfaat kemarahan ini adalah jangka pendek sahaja. Sebenarnya ia boleh dicapai melalui cara lain yang lebih asertif. Melepaskan kemarahan membawa berkat yang sementara sahaja. Pada jangka panjang ia akan menjejaskan perhubungan kita.





2. Belajar menenangkan diri dalam situasi genting.


Bila perasaan marah timbul kita boleh
a) Gantinya dengan aktiviti lain seperti memandang pada benda dan bukan orang, memikir tentang apa yang kita lakukan pada hari ini atau menerangkan suasana bilik kepada diri sendiri atau membilang sampai 10.
b) Mengelakkan melalui atau meninggalkan tempat itu atau minta diri untuk berfikir
c) Menukarkan ritma otak seperti mendengar muzik atau lakukan senaman
d) Guna teknik relaks seperti menarik dan menahan nafas selama 5 saat
e) Kecut dan regangkan otot selama 5 saat
f) Urut bahagian dada dan perut
g) Ubah cara duduk dan regangkan bahu
h) Berimaginasi tentang pemandangan yang tenang atau yang neutral atau ketawa pada diri sendiri kerana situasi itu


3. Belajar cara atau strategi untuk mengelak kemarahan kelak
a) Mengenalpasti samada kemarahan kita itu sihat atau tak sihat iaitu membina atau destruktif
b) Elak daripada menggunakan dadah atau alcohol untuk melupakan sesuatu
c) Baca dan menambahkan ilmu tentang pengurusan kemarahan
d) Bincang dengan orang lain yang berjaya menguruskan kemarahan mereka
e) Ubah kepada gaya hidup yang lebih sihat dan kurang stress
f) Sentiasa menahan dan mencabar setiap pemikiran yang membawa kemarahan
g) Sedari tentang kemarahan yang tersembunyi dalam sindiran atau perli
h) Belajar menjadi lebih asertif atau hadiri kursus untuk menambah kemahiran asertif
i) Meneliti segala punca kemarahan dari dahulu
j) Berbincang dengan kaunselor atau pakar psikologi
k) Menghadiri kursus mengurus kemarahan

Mengikut pakar psikologi marah adalah emosi sekunder. Di belakang emosi marah ini terdapat emosi primer seperti keresahan, duka, hampa, kehilangan, takut dan sebagainya yang terbit kerana sesuatu keperluan tidak diselesai atau dicapai. Sebenarnya kemarahan ini menjejaskan peluang kita untuk mencapai sesuatu keperluan itu. Bila kita dapat mengenalpasti keperluan-keperluan ini kita dapat berusaha untuk mencapainya dan dengan itu kemarahan dapat dikawal atau diurus dengan sihat. Emosi marah adalah satu fenomena rasional yang berlaku di otak kiri kita. Untuk mengurusnya kita perlu menggunakan kedua-dua bahagian otak, khasnya otak kanan dan bahagian lain otak berkenaan dengan emosi untuk mengecam dan sedar bila perasaan marah muncul. Dengan demikian kita dapat menangani kemarahan dengan cepat dan mengekalkan ketenangan kita.





“Angry people are those who are most afraid” -Robert Anthony-


“Orang yang paling kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya” -Imam AL Ghazali-

Telah Kupilih JalanMu
www.iLuvislam.com
layyinul qalbie
editor : everjihad


Telah kupilih jalanMu
Jalan yang mendekatkan aku padaMu
Jalan orang-orang yang beriman dan beramal soleh
Dan aku yakin sebenar-benarnya
Cintaku padaMu takkan pernah dikecewakan

Namun Tuhan,
Ampuni aku,
Fitrah hati ini terlalu berat untuk kubuang
Terlalu pahit untuk ditelan
Tapi terus-terusan aku gagahkan
Demi menggapai cintaMu Yang Esa

Bantulah aku Tuhan
Jika rinduku ini imaginasi syaitan
Dan kuminta ia dilenyapkan
Andai kasihku berlandaskan nafsu
Kumohon matikanlah rasa cinta yang belum tentu jadi milikku

Tolonglah aku Tuhan
Untuk mengisi bejana cintaku untukMu
Agar aku takkan pernah dahagakan
Cinta dari insan yang tak halal bagiku
Teguhkan kasihku untukMu
Agar aku tak kecundang dijajah cinta yang dusta
Yang menjadi hijab di antara kita
Tetapkan langkahku
di jalan ini

Gagahkan aku Tuhan
Untuk menenggelamkan kapal cinta manusia
Walau ia se'gah' bahtera 'Titanic'
Tetapku pinta ia karam
Jika belayar ia di lautan dosa

Dan kumohon Tuhan
Damaikanlah ombak di hati
Walaupun ribut datang mengundang
Kasihku diikat di dasar Rabbi
Kerana ianya lumrah ujian..
Dan akan kuterus tekadkan janji
Kerana telah kupilih jalanMu.
Andainya Cinta Itu Hendak Diberi
www.iLuvislam.com
dihantar oleh: yayah
editor : kasihsayang




Andainya sedikit daripada cinta itu hendak diberikan kepada seseorang yang boleh bergelar suami, pilihlah seorang lelaki yang;

1.Kuat Pengamalan Agamanya

Ukuran boleh dibuat apakah dia menjaga sembahyang fardhunya biar sesibuk mana, kerap berjemaah dan sembahyang pada awal waktu.

Ukur juga, apakah dia menjaga auratnya dengan memakai pakaian yang sopan terutama sewaktu bersukan.

Mengutamakan pemuda yang kuat pengamalan agamanya ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w. kerana baginda menerima pinangan Sayidina Ali, seorang pemuda paling miskin tetapi paling bertakwa untuk menjadi suami anaknya, Siti Fatimah.

2. Baik Akhlaknya

Ketegasannya nyata tetapi sebenarnya dia seorang yang lembut dan mudah bertolak ansur. Dia bertutur dengan sopan kerana melambangkan peribadi dan hatinya yang mulia. Rasulullah s.a.w. bersabda;

"Jika (seorang lelaki) datang (untuk meminang anak perempuanmu) dan kamu berpuas hati dengan agamanya serta akhlaknya,nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu kamu tidak lakukan maka akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang amat luas."


3. Tegas Mempertahankan Maruah
Ukur, apakah dia pernah pergi ke tempat-tempat yang bleh menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya seperti ke tempat-tempat hiburan yang penuh dengan maksiat.

4. Amanah
Selidiki, apakah dia seorang yang tidak pernah mengabaikan tugas yang diberikan kepadanya atau apakah dia pernah menyalahgunakan kedudukannya.

5. Tidak Boros

Dia bukanlah kedekut tetapi seorang yang tahu membelanjakan wangnya dengan bijaksana. Nikmat yang ada padanya seperti makanan boleh dikongsi sama dengan orang-orang lain yang berhak.

6. Tidak Mengelingas Matanya
Perhatikan apakah matanya kerap mengelingas ke arah perempuan lain yang lalu-lalang sewaktu berbicara. Jika begitu, dia seorang yang bermata keranjang dan berbahaya untuk disenaraikan calon suami.

7. Terbatas Pergaulan

Dia tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah menjadi fitnah orang.

8. Siapakah Rakan Pergaulannya

Rakan-rakan pergaulan adalah yang sama sepertinya.

9. Bertanggungjawab
Rasa bertanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh manakah dia menguntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika dia seorang yang agak berada tetapi keluarganya hidup susah,dia bukanlah seorang yang bertanggungjawab.

10. Tenang wajahnya
Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang-kadang terpancar pada air muka. Perhatikan, apakah wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak. Andainya dia seorang yang kelam-kelibut dia bukanlah calon suami yang anda cari-cari.

  • Berbahagialah anda jika dicintai calon suami yang demikian sifatnya. Semoga berbahagia di dunia dan akhirat.
  • Cinta seorang wanita bukan untuk 'buaya-fren' tetapi untuk suaminya yang sah.

editor: everjihad

Diskusi aku bersama seorang sahabat petang ini menarik minat aku untuk mengkaji lebih mendalam. Walaupun topik sebegini sebenarnya sentiasa mendapat tempat di kalangan pengguna-pengguna forum tempat aku berkongsi idea, pasal cinta/ crush/ nikah/kahwin/lelaki idaman/ wanita idaman,'in relationship' teman lelaki, teman perempuan dan sebagainya. Jika thread yg berkenaan topik ini di buka, laju saja pengguna lain memberi pendapat. Benar-benar mendapat sambutan hangat namun aku jarang sekali menjenguk thread ini utk melihat komen para sahabat, apatah lagi untuk turut serta memberi idea. Bukan musim aku untuk bercakap pasal cinta agaknya.

Berbalik kepada perdebatan aku siang tadi.

“Macam best jer bernikah” kata sahabatku.
“Haah kot..kawan2 ramai yg dah kawen” aku menyampuk.
“Kalau ko..kenapa ko nak bernikah?” aku bertanya pulak.
“Entah..” dia menjawab..

Haih..aku mmg selalunya susah nak terima jawapan yang sebegini, entah, tak tau..dan sebagainya kerana aku seorang yang suka mengikut logic akal. Setiap persoalan, mesti ada jawapannya. Itu yang aku percaya lalu aku terus memancing jawapan seterusnya.
“Antara-antara sebab berikut, mana yang ko pilih?” aku terus lagi bertanya.

Cintakan kekasih? Sunyi, dan bosan keseorangan? kerana nafsu? nak ikut sunnah Nabi – demi menghalalkan yang haram?mahukan zuriat penyambung generasi? atau mak ayah yang paksa?

Itulah lebih kurang soalan aku. Namun aku masih tidak puas hati. Dia masih lagi menjawab, “entahlah”. Aduhai,geram terasa. Aku mula memberi hujahku mengenai hal ini.
“Kalau aku, aku mungkin akan bernikah kerana semua sebab tersebut, kecuali satu..CINTA.”


Cinta Sebelum Nikah Vs Cinta Selepas Nikah.

Cinta adalah suatu perasaan yang suci dan indah dan cinta yang tercipta akibat didorong oleh rasa takut kepada ALLAH pastinya akan membawa kebaikan dan kebahagiaan kepada manusia. Sebaliknya pula bagi cinta yang berlandaskan hawa nafsu dan hasutan syaitan, ianya pasti tidak akan berkekalan selamanya membahagiakan. Mungkin segalanya akan terasa ‘indah’ namun itu semua hanyalah tipu muslihat syaitan semata. Malahan mungkin akan menyebabkan rasa gundah gulana, resah dan akhirnya kecewa. Dan pastinya, cinta yang sejati dan agung tentunya hanyalah untuk ALLAH swt...kerana Dia satu-satunya Pencipta kita yang maha berhak.

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Tiga perkara yang sesiapa melakukannya akan mendapat kemanisan iman:
Menjadikan ALLAH dan Rasul-NYA s.a.w sebagai cinta yang paling utama, menyintai seseorang semata-mata kerana ALLAH dan benci untuk kembali kepada kekufuran seperti dia benci dicampakkan ke dalam neraka.”

– Riwayat al-Bukhari -

Kewujudan cinta sebelum membuat keputusan untuk mengahwini seseorang itu penting dan dituntut oleh syarak. Rasulullah s.a.w menyarankan agar mereka yang ingin berkahwin melihat wanita yang ingin dikahwini terlebih dahulu. Namun semuanya itu harus di lakukan mengikut syarat dan batasan-batasan yang tertentu yang telah ditetapkan. Berhubung dengan percintaan sebelum kahwin yang banyak berlaku di banyak negara Islam sebenarnya diambil dari budaya barat, ternyata ia mempunyai lebih banyak kesan negatif berbanding positif.
Dalam Islam, lelaki dan wanita yang tidak ada sebarang pertalian darah (mahram) tidak boleh membuat sebarang perhubungan, sentuhan, keluar berdua-duaan (dating) atau sebagainya tanpa ikatan yang sah.

Sudah banyak pengalaman orang-orang terdahulu mengajar kita betapa cinta yang berlandaskan keinginan nafsu tanpa panduan syarak gagal di pertengahan jalan. Ramai yang menjadi buta kerana cinta. Orang yang sedang bercinta selalunya tidak dapat menilai sesuatu dengan baik kerana ditutup oleh perasaan itu. Mereka seolah-olah berada di awang-awangan. Akhirnya setelah berkahwin, barulah mereka tersedar siapa sebenarnya pasangan yang mereka cintai selama ini. Mereka juga mula menyedari bahawa pasangannya itu bukanlah sebaik yang disangka. Sebab itulah boleh dikatakan satu pertiga perkahwinan di barat berakhir dengan perceraian.

Cinta yang berpandukan kecintaan kepada ALLAH akan membahagiakan hati manusia dan menenangkan jiwa mereka. Mereka dapat menilai baik buruk sesuatu perkara dan sanggup mengorbankan perasaan cinta dan keinginan sendiri semata-mata kerana takut akan azab ALLAH. Mereka yakin sepenuh hati bahawa ikatan cinta yang diredhai itulah yang akan membawa kebahagian dan keberkatan dalam hidup mereka. Kesimpulannya, ingatlah bahawa syaitan sentisa menghiasi indah sesuatu maksiat. Padahal ia amat keji di sisi ALLAH. Orang yang bercinta selalu lupa diri kerana telah terikut jalan syaitan. Bukanlah cinta itu yang mesti diperangi kerana ia fitrah dan pendorong utama manusia hidup di dunia ini. Tetapi, tindakan melanggar hukum syarak akibat cinta yang tidak terkawal itulah yang perlu dihindari. Mudah-mudahan ALLAH memberi petunjuk kepada muda-mudi hari ini kepada jalan yang lurus dan diredhai-NYA.


Komentar C.I.N.T.A

Komentar Aku Apa itu cinta? Kenapa kita menyintai? Syukur Alhamdulillah jika kita menyintai seseorang itu kerana Allah, ini cinta yang suci dan agung. Cinta semata-mata kerana inginkan keredhaan dariNya. Cinta kerana ingin mendekatkan diri kepadaNya. Cinta kepada dia kerana yakin dia boleh membangkitkan semangat kita untuk berjuang mendapatkan keredhaan dari Allah. Cinta kepada dia kerana dia yang mendorong rasa rindu kepada Allah. Cinta kepada dia kerana dia yang mampu menjamin kenikmatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Cinta kepada dia kerana dia yang sanggup bersusah payah, suka dan duka bersama kita berjihad menuju jalan Allah. Cinta kepada dia kerana dialah insan yang berkemampuan untuk menyambung zuriat kita, melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. Cinta kepada dia kerana dia juga mencintai Allah. Alhamdulillah..Jika kita di kurniakan cinta yang sebegini, maka rugilah kita jika kita menolak cinta ini.

Namun, sebanyak mana orang yang mampu menyintai kita kerana sebab-sebab itu semata? Puji-pujian kepada Allah, syukur hanya kepada Dia jika kita di anugerahkan rasa cinta dan di cintai seindah ini. Alhamdulillah. Bagaimana kalau si dia cintakan kita kerana sebab-sebab berikut:

Dia mungkin cintakan kita kerana kita ni cantik, tubuh kita ramping yang menggiurkan atau kacak yang mempesona, dia mungkin cintakan kita kerana pertuturan kita yang lemah lembut, kerana suara kita yang merdu menggoda. Dia mungkin mencintai kita kerana mata kita yang indah, bak kata pepatah, dari mata turun ke hati. Dia mencintai kita mungkin kerana kelincahan kita, kerana kecekapan kita. Dia mungkin mencintai kita kerana kebijaksanaan kita berdebat meluah pendapat. Dia menyintai kita mungkin kerana wang kita dan harta kita, atau kerana karier , status dan ‘siapa’ kita yang membanggakan atau macam-macam lagi sebab.

Namun, mari kita soroti dengan lebih mendalam. Bagaimana andai secara mengejut Allah takdirkan kita bisu. Adakah dia yang menyintai kita kerana kemerduan dan kepetahan kita akan masih menyintai kita? Bagaimana kalau Tuhan takdirkan kita buta..adakah dia yang menyintai kita kerana tajamnya panahan mata kita akan masih menyintai kita? Bagaimana kalau Tuhan takdirkan kaki kita kudung, lumpuh tidak mampu bergerak, adakah dia yang menyintai kita kerana kelincahan kita akan tetap menyintai kita? Bagaimana kalau tiba-tiba muka kita cacat, tidak lagi secantik dulu atau berkedut sana sini, adakah dia masih menyintai kita? Bagaimana pula kalau kiranya kita ditakdirkan tidak dapat melahirkan anak? Adakah dia yang mencintai kita kerana kita melahirkan zuriat untuknya akan terus menyintai kita?

Mungkin juga tidak kerana cinta kepada sesuatu yang ada pada kita, bermakna cintakan suatu yang tidak kekal, yang bermaksud, boleh diambil kembali olehNya yang Maha Berhak ke atas hamba-Nya pada bila-bila masa sahaja. Semua itu hanyalah pinjaman. Malahan, cinta itu sendiri juga suatu pinjaman. Suatu nikmat yang boleh ditarik bila-bila masa sahaja.

Maka. InsyaAllah, aku tidak akan sekali-kali menerima cinta kerana suatu yang tidak pasti. Aku pasti akan menyintai, dan dicintai..tapi Tuhan, jika Kau takdirkan aku jatuh cinta, Kau jatuhkanlah cintaku ini kepada dia yang mencintaiku kerana Mu.”


Thursday, March 5, 2009

Renung-renungkan...

Mar 2, 2009, 8:48 pm

Kepada yg masih SINGLE
Cinta ibarat kupu2. Makin kau kejar, makin ia menghindar. Tp, bila kau biarkan ia terbang, ia akan menghampirimu di saat kau tak menduga. Cinta mampu membahagiakanmu tapi sering pula ia menyakiti, tp cinta itu hanya istimewa apabila kau berikan pd seseorang yg layak menerima.

Kepada PLAYBOY / PLAYGIRL

Jgn katakan AKU CINTA PADAMU!bila kau tdk benar2 peduli. Jgn bicarakan soal perasaan bila itu tdk benar2 ada. Jgn kau sentuh hidup seseorang bila kau hanya berniat main2 dgnnya. Jgn menatap ke dlm mata seseorang bila apa yg kau lakukan hanya pembohongan. Hal paling kejam yg dilakukan ialah membuat seseorang jatuh cinta, sedangkan kau tdk berniat langsung UNTUK MENERIMANYA saat ia terjatuh.

Kepada yg PATAH HATI
Sakit patah hati bertahan selama kau menginginkannya dan akan menghiris luka sedalam kau membiarkannya. Persoalannya, bukan bagaimana kita mengatasi rasa sakit itu, tetapi adalah apa yg boleh diambil sbg pengajaran dan hikmahnya.