Wednesday, April 14, 2010

MAYAT BAYI LELAKI DI BUANG DI KAMPUNG TANJUNG,SUNGAI CHOH DI HULU SELANGOR

KUALA LUMPUR: Mayat bayi lelaki dipercayai dibuang ibunya ke dalam timbunan sampah di Sungai Choh di Hulu Selangor kelmarin, dipercayai sengaja dicampakkan ke dalam tong sampah terbabit pada waktu malam bagi mengelak dilihat sesiapa.



Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan ibu atau individu melakukan jenayah itu mungkin sengaja membuang mayat bayi terbabit pada waktu malam.
Beliau berkata, ketiadaan saksi melihat kejadian itu menyukarkan polis menjalankan siasatan bagi mengesan waris bayi malang berkenaan.
“Sejak hari pertama mayat bayi malang itu ditemui sehinggalah sekarang, tiada seorangpun saksi datang ke balai atau menghubungi polis untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Ini berlaku kerana kita percaya suspek membuang bungkusan plastik berisi mayat bayi itu pada waktu malam menyebabkan tiada saksi melihat perbuatan jenayahnya itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Berdasarkan hasil laporan pihak hospital sebelum ini, mayat bayi terbabit disahkan tidak cukup bulan dan dipercayai baru berusia sekitar lapan bulan ketika dilahirkan sebelum dibuang.


Menurut Norel Azmi, selain faktor malam hari, tindakan suspek membungkus mayat bayi terbabit dengan kertas surat khabar sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik juga adalah antara salah satu punca menyebabkan orang ramai tidak menyedari perbuatan kejamnya.
“Kalaupun ada yang melihat orang membuang bungkusan plastik ke dalam tong sampah di situ, mereka mesti tidak syak ia mayat bayi kerana menyangka yang dibuang itu memang sampah. “Bagaimanapun, polis tidak berputus asa menjalankan siasatan dan berharap akan ada saksi tampil memberikan maklumat dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi polis bagi menyelesaikan kes disifatkan kejam berkenaan.


Kelmarin, seorang pekerja kontraktor syarikat pengutip sampah Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang sedang melakukan kerja-kerja memungut sampah terkejut apabila menemui mayat seorang bayi lelaki dalam beg plastik. Mayat bayi malang yang masih bertali pusat dan cukup sifat itu dibungkus dengan kertas surat khabar, kemudian dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum dibuang dalam timbunan sampah di sebelah kedai nasi ayam berhampiran lampu isyarat di pekan Sungai Choh.
Laporan bedah siasat mengesahkan bayi terbabit mati akibat keguguran dan dianggarkan berusia lapan bulan